Apple secara rasmi memperkenalkan Apple Watch Ultra 4 untuk pasaran Malaysia yang kini dikuasakan oleh cip baharu S11 dan didatangkan dengan kerangka titanium 49mm dalam pilihan warna Natural serta Black Titanium. Model baharu ini dilengkapi Health Sensing System yang menggunakan LED hijau lebih besar untuk mengukur kadar jantung setiap lima saat.
Pemantauan variabiliti kadar jantung (HRV) turut diukur sehingga 24 kali lebih kerap, disokong ciri Readiness yang memberikan skor 0 hingga 10 untuk menilai tahap kesediaan fizikal pengguna berdasarkan aktiviti, beban latihan, bacaan penting dan tidur.
Peningkatan utama lain melibatkan ketahanan bateri yang kini mencapai sehingga 50 jam untuk kegunaan harian dan 84 jam dalam mod kuasa rendah. Bagi aktiviti luar, pemantauan senaman dengan GPS penuh bertahan sehingga 25 jam manakala mod penjejakan senaman berpanjangan mampu beroperasi sehingga 45 jam.
Apple Watch Ultra 4 mengekalkan skrin Retina dengan kecerahan puncak sehingga 3,000 nits, sokongan GPS dwi-frekuensi persis serta fungsi perhubungan satelit yang kini menyokong peta dan penghantaran gambar. Cip S11 turut membawakan ciri Pengecaman Bunyi untuk pengguna kurang pendengaran dan kawalan berasaskan kecerdasan audio.
Di Malaysia, Apple Watch Ultra 4 dijual pada harga bermula RM3,699 bersama tali Alpine Loop, Trail Loop atau Ocean Band manakala pilihan Titanium Milanese Loop ditawarkan pada RM4,199. Tempahan awal dibuka bermula hari ini dan peranti akan mula dijual secara rasmi pada 18 September.
Setiap pembelian menyertakan tawaran langganan percuma tiga bulan untuk Apple Fitness+ dan Apple Music bagi pelanggan baharu. Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengannya dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

