Apple WWDC26 rasmi diumumkan akan berlangsung bermula 8 hingga 12 Jun 2026 dengan acara pembukaan dijangka menjadi antara pengumuman perisian terbesar Apple tahun ini. Seperti biasa, acara tahunan Worldwide Developers Conference (WWDC) akan dimulakan dengan ucaptama Apple yang bakal memperlihatkan generasi baharu sistem operasi termasuk iOS 27, iPadOS 27, watchOS 27, macOS 27, tvOS 27 dan visionOS 27.
Untuk tahun ini, Apple menggunakan slogan “Coming bright up” yang dilihat memberi bayangan kepada fokus lebih besar terhadap AI dan pengalaman visual baharu dalam ekosistem Apple. Selain kemas kini sistem operasi, antara pengumuman paling dinantikan sudah tentunya versi baharu Siri yang dikuasakan AI.
Apple dijangka akhirnya memperlihatkan evolusi besar pembantu maya tersebut selepas mereka dilihat agak perlahan mengejar pesaing seperti Google dan OpenAI dalam perlumbaan AI generatif. Acara akan distrim secara langsung menerusi saluran YouTube rasmi Apple, laman web Apple serta aplikasi Apple TV.
Dalam masa sama, WWDC 2026 juga dijangka menjadi antara acara terakhir dikendalikan oleh Tim Cook sebagai CEO Apple, walaupun mereka masih belum mengesahkan sebarang perancangan pengganti buat masa ini.
Sepanjang acara berlangsung dari 8 hingga 12 Jun, Apple juga akan mengadakan pelbagai sesi khas untuk pembangun bagi memperkenalkan teknologi dan ciri baharu dalam platform mereka. Kongsi pendapat anda di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.
Sumber: Apple

