Site icon TechNave BM

Artis Malaysia berjaya jual karya NFT bernilai RM325,000

Artis berwarganegara Malaysia Red Hong Yi telah berjaya menjual aset pertama beliau dalam bentuk non-fungible token (NFT) bernilai 36.3 ETH (Ethereum) dalam mata wang kripto, bersamaan dengan RM325,000. Aset tersebut adalah karya bernama Doge To The Moon iaitu karya pertama dalam siri seni Memebank yang membuat parodi daripada mata wang di seluruh dunia.

Untuk Doge To The Moon, Hong Yi telah menghasilkan sebuah gambar yang menggabungkan rekaan wang kertas Yuan China dengan meme anjing Doge. Beliau memilih mata wang Yuan kerana konsep wang kertas telah mula diperkenalkan dalam sejarah di China sewaktu era Dinasti Song.

Pembeli yang telah memenangi bidaan untuk NFT tersebut akan memiliki plat tembaga dan cetakan silk-print untuk karya tersebut. Walaupun gambar tersebut boleh disalin dengan mudah, hanya pembeli karya ini yang boleh menuntut hak milik terhadapnya kerana ia telah pun direkod dalam rantaian blockchain melalui perkhidmatan Binance NFT Marketplace.

Hong Yi mengatakan wang yang didapati daripada hasil jualan ini akan disumbangkan kepada pertubuhan MERCY Malaysia bagi meningkatkan dana untuk merawat pesakit COVID-19. Beliau dijangka akan menghasilkan lebih banyak karya NFT untuk siri Memebank dalam masa akan datang.

Kongsi pendapat anda tentang berita ini di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Exit mobile version