Site icon TechNave BM

AS hasilkan syiling khas 1$ sebagai penghormatan kepada Steve Jobs

Pentadbiran US Mint mengumumkan penghasilan syiling khas bernilai $1 sebagai penghormatan kepada Steve Jobs, pengasas bersama dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif Apple yang dikenali kerana sumbangannya dalam dunia teknologi moden. Untuk pengetahuan, US Mint ialah agensi rasmi kerajaan Amerika Syarikat yang bertanggungjawab mengeluarkan duit syiling rasmi.

Syiling ini merupakan sebahagian daripada siri tahunan “American Innovation” yang meraikan tokoh dan kumpulan yang berjasa dalam memacu inovasi di Amerika Syarikat. Untuk edisi tahun 2026, Steve Jobs menjadi antara individu terpilih untuk diabadikan pada rekaan syiling tersebut.

Reka bentuknya menampilkan Steve Jobs duduk bersila di hadapan landskap California berlatar belakangkan bukit dan pokok oak. Menurut kenyataan rasmi, postur dan ekspresi ketika dirakam dalam momen refleksi yang menggambarkan bagaimana persekitaran memberi beliau ilham untuk menjadikan teknologi kompleks kelihatan intuitif dan semula jadi seperti alam sendiri.

Syiling tersebut turut memaparkan beberapa ukiran penting termasuk “California”, “Steve Jobs” dan moto ikonik “Make something wonderful.” Langkah ini dilihat sebagai satu penghormatan besar terhadap warisan Steve Jobs dalam membentuk dunia teknologi yang lebih mesra pengguna dan berpengaruh hingga ke hari ini.

Kongsi pendapat anda di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: US Mint

Exit mobile version