Site icon TechNave BM

Assassin’s Creed 2 akan ditawarkan secara percuma

Sebagai sebahagian daripada Ubisoft Free Events sepanjang April ini, Ubisoft akan menawarkan game Assassin’s Creed 2 (AC2) secara percuma dalam masa yang terhad. Menurut laporan media, game itu akan ditawarkan secara percuma melalui Uplay bermula 14 April.

Maklumat itu ditemui oleh penganalisis industri permainan video, Daniel Ahmad, yang menjumpai sebuah poster tentang AC2 dalam sebuah laman web jualan game di Jerman. Selain itu, sebuah poster berbahasa Cina juga menyatakan maklumat yang sama, dengan AC Brotherhood dan AC Revelations ditawarkan dalam harga yang rendah.

AC2 yang berlatarkan Itali pada zaman Renaissance dianggap sebagai antara game terbaik dalam francais Assassin’s Creed. Sebelum ini, Ubisoft telah menawarkan Rayman Legends secara percuma dalam Ubisoft Free Events, sebuah acara dalam talian khas yang menggalakkan gamers untuk kekal dalam rumah bagi membendung penularan COVID-19.

Selain itu, terdapat juga game-game lain yang ditawarkan secara percuma pada April ini seperti Gears 5. Beritahu kami di Facebook jika anda merancang untuk memainkan AC2 dalam masa terdekat dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: PC GamesN

Exit mobile version