Site icon TechNave BM

Astro akan lancarkan Ultra Box baru dengan butang khas Netflix pada alat kawalan jauh

Pada bulan Jun lalu, Astro telah mengesahkan bahawa mereka sedang bekerjasama dengan perkhidmatan pelayaran filem Netflix namun mereka masih belum mengumumkan sebarang pelan langganan yang menggabungkan perkhidmatan daripada kedua-dua pihak.

Astro masih belum mengumumkan sebarang perkhidmatan yang menawarkan Netflix, namun mereka telah berkongsi gambar sebuah alat kawalan jauh yang mempunyai butang khas untuk Netflix. Menurut Astro, alat kawalan jauh ini tidak banyak berbeza dengan alat kawalan jauh asal untuk Ultra Box, kecuali pada butang Netflix yang ditunjukkan.

Dengan menekan butang tersebut, pengguna akan dibawa terus kepada laman utama (homepage) Netflix. Tiga lagi butang yang menawarkan fungsi khas adalah untuk aplikasi (apps), filem (movies) dan sukan (sports). Buat pengguna yang sudah pun menggunakan Ultra Box, Netflix masih boleh diakses melalui laman utama (homepage) Astro.

Walaupun dengan gambar alat kawalan jauh ini, Astro masih belum mengesahkan sebarang langganan khas untuk Netflix. Jika anda berminat dengan kedua-dua perkhidmatan, anda boleh layari laman web Astro untuk daftarkan diri dan dapat maklumat terawal daripada syarikat itu.

Adakah anda berminat dengan pakej ini? Beritahu kami di Facebook dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Exit mobile version