Site icon TechNave BM

Astro Slide 5G bakal jadi telefon 5G pertama dengan papan kekunci fizikal, berharga ~RM2,414

Majoriti besar telefon pintar waktu ini tidak mempunyai sebarang butang fizikal kerana skrin sentuh yang besar sudah cukup untuk sebarang interaksi antara pengguna dengan telefonnya. Namun jika anda merindukan papan kekunci fizikal, mungkin anda boleh lihat pada telefon Astro Slide 5G.

Syarikat dari United Kingdom bernama Planet Computers telah menyenaraikan spesifikasi akhir untuk Astro Slide 5G yang mempunyai papan kekunci mirip komputer pada telefon tersebut. Planet Computers mengatakan pengalaman menggunakan kekunci tersebut adalah sama dengan kekunci yang terdapat pada komputer.

Astro Slide 5G masih mempunyai skrin sentuh iaitu skrin AMOLED Full HD+ yang dibuat dengan Gorilla Glass. Ia turut dilengkapi kamera utama 48MP, kamera swafoto 13MP, sistem operasi Android 11, bateri 4,000mAh, dwi-kad SIM, RAM 8GB dan storan 128GB yang boleh dibesarkan.

CEO Planet Computers mengatakan produk ini ditujukan kepada mereka yang perlu menghasilkan kandungan teks di mana sahaja mereka berada. Pelanggan yang berminat boleh menyokong penghasilan telefon ini di IndieGoGo dengan harga bermula €491 (~RM2,414) dan akan dipasarkan bermula Mac 2021.

Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengan peranti unik ini dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: Siaran Akhbar Planet Computers

Exit mobile version