Astro memperluaskan penawaran kandungannya dengan melancarkan dua saluran baharu iaitu Mango TV (CH 336) dan U Panda TV (CH 337) bermula 1 Oktober 2026. Pada masa yang sama, Astro turut memperkenalkan saluran pop-up khas Pokémon (CH 121) yang akan beroperasi dari 1 Oktober hingga 31 Disember 2026.
Saluran Mango TV (CH 336) menyiarkan drama popular, rancangan variasi terbitan asal, program realiti dan filem dari Hunan TV serta Mango TV. Manakala U Panda TV (CH 337) memfokuskan kepada program hiburan keluarga dan fakta yang merangkumi topik sejarah, kebudayaan, pelancongan, alam semula jadi, makanan serta gaya hidup dari China.
Penambahan ini bertujuan memperluaskan pilihan kandungan bahasa Cina, dokumentari dan rancangan gaya hidup untuk para penonton. Bagi saluran pop-up Pokémon (CH 121), ia ditawarkan tanpa sebarang kos tambahan kepada semua pelanggan Astro, NJOI dan Sooka sempena sambutan 30 tahun francais tersebut.
Saluran ini menyiarkan lebih 600 episod dalam alih suara bahasa Inggeris yang merangkumi 13 siri Pokémon, antaranya Pokémon: Indigo League, Pokémon: The Johto Journeys, Pokémon the Series: XY, Pokémon the Series: Sun & Moon dan Pokémon Ultimate Journeys: The Series. Kandungan juga boleh distrim pada bila-bila masa menerusi perkhidmatan On Demand, Astro GO dan aplikasi Sooka.
Bagi Musim 24 (Pokémon Master Journeys: The Series) dalam alih suara Bahasa Melayu, ia disiarkan lebih awal di Astro Ceria (CH 611) pada setiap Khamis dan Jumaat jam 3:00 petang. Pendaftaran saluran dan pakej Astro boleh dilakukan menerusi laman rasmi syarikat atau saluran khidmat pelanggan WhatsApp mulai tarikh berkenaan.
Kongsi pendapat anda di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

