Site icon TechNave BM

ASUS ExpertBook Ultra dilancar di Malaysia dengan skrin Tandem OLED, AI 180 TOPS dan bateri 26 jam bermula RM7,999

ASUS hari ini mengumumkan pelancaran ASUS ExpertBook Ultra (B9406CAA) di Malaysia. Ia tiba sebagai sebuah komputer riba perniagaan premium berasaskan AI yang direka untuk golongan profesional dan perusahaan yang memerlukan prestasi tinggi dalam reka bentuk ultra ringan. ExpertBook Ultra tampil dengan casis magnesium-aluminium gred aeroangkasa AZ31B, berat 0.99kg dan ketebalan hanya 10.9mm.

ASUS mendakwa ia merupakan komputer riba 14 inci dengan footprint paling kecil di dunia. ExpertBook Ultra dikuasakan cipset sehingga Intel Core Ultra X7-358H bersama NPU berkeupayaan 50 TOPS dan kuasa pemprosesan AI keseluruhan sehingga 180 TOPS. Keupayaan sistem penyejukan ExpertCool Pro membolehkan komputer riba ini mengekalkan TDP CPU sehingga 50W secara berterusan tanpa throttling walaupun dalam reka bentuk yang nipis dan ringan.

Bagi grafik, ia menggunakan Intel Arc B390 terbina dalam yang menurut ASUS mampu menawarkan prestasi lebih tinggi berbanding NVIDIA RTX 4050 pada tetapan kuasa 30W TGP. Sistemnya dipadankan dengan memori LPDDR5X sehingga 64GB pada kelajuan 9600MT/s dan storan PCIe Gen 5 x4 SSD sehingga 2TB dengan kelajuan bacaan melebihi 14,000MB/s.

Untuk paparan, ExpertBook Ultra hadir dengan skrin sentuh 14 inci 3K (2880 x 1800) Tandem OLED yang menyokong kadar segar semula berubah-ubah sehingga 120Hz, kecerahan HDR puncak 1,400 nits, liputan warna 100% DCI-P3 dan teknologi Gorilla Glass Matte yang mengurangkan pantulan cahaya. ASUS turut menawarkan varian paparan Polymer OLED.

Selain itu, ia dilengkapi sistem audio 6 pembesar suara Dolby Atmos, mikrofon AI Noise Cancellation serta touchpad haptik kaca bersaiz besar yang menyokong kawalan gestur untuk pelarasan audio dan kecerahan. Dari segi sambungan, ExpertBook Ultra menyediakan dua port Thunderbolt 4, dua port USB-A 3.2 Gen 2, HDMI 2.1 dan bicu audio 3.5mm. Ia juga menyokong Wi-Fi 7 serta Bluetooth 6.0.

Baterinya berkapasiti 70Wh mampu menawarkan sehingga 26 jam penggunaan dengan sokongan pengecasan pantas sehingga 50% dalam tempoh 30 minit serta sokongan pengecasan melalui pelbagai sumber kuasa USB-C. Ia tiba dengan ciri keselamatan seperti ASUS ExpertGuardian, pematuhan piawaian NIST SP 800-193, Dual Self-Healing BIOS, TPM 2.0, Microsoft Pluton, pengimbas cap jari, Windows Hello IR, penutup kamera fizikal dan ciri Chassis Intrusion Alert.

Sebagai sebuah Copilot+ PC, ExpertBook Ultra juga dilengkapi suite MyExpert AI yang merangkumi AI ExpertMeet dan Knowledge Hub tempatan selain menyokong fungsi AI seperti transkripsi masa nyata, terjemahan masa nyata dan carian dokumen berasaskan AI. ASUS ExpertBook Ultra kini ditawarkan di Malaysia pada harga bermula RM7,999 menerusi pengedar ASUS Business terpilih dan ASUS e-Store.

Sempena pelancaran, pelanggan yang membeli peranti ini antara 10 Jun hingga 31 Julai 2026 akan menerima eGift Card Malaysia Airlines bernilai RM500, tertakluk kepada terma dan syarat. Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengannya dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Exit mobile version