Penstabil gimbal untuk telefon pintar semakin mendapat sambutan dalam industri telefon pintar, jadi tidak hairan jika lebih banyak syarikat elektronik ingin menghasilkan gimbal mereka sendiri. Terbaru, ASUS telah melancarkan gimbal telefon yang pertama daripada syarikat itu bernama ASUS ZenGimbal.
Gimbal ini dilengkapi dengan bateri 3,050mAh yang boleh bertahan sehingga 10 jam penggunaan. Ia boleh menstabilkan rakaman ke sisi (pan), rakaman senget (tilt) dan rakaman zum (zoom). Selain telefon pintar, gimbal ini juga boleh digunakan untuk kamera kecil seperti GoPro.
Gimbal ini menampilkan pelbagai fungsi menarik seperti rakaman sudut rendah (low-angle shooting), putaran tanpa had (unlimited rotation), mod sukan, mod sudut pandangan mata (point of view) dan banyak lagi. Ia sudah mula dijual di China dan Taiwan dengan harga CNY1,099 (~RM671).
Secara keseluruhan, ia nampak seperti kebanyakan gimbal telefon yang lain. Masih tiada maklumat tentang keberadaannya di Malaysia namun memandangkan pelbagai jenama gimbal telefon sudah pun dijual di sini, kita boleh jangakakan ZenGimbal untuk hadir dalam pasaran Malaysia tidak lama lagi. Kongsi pendapat anda tentang berita ini di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.
Sumber: ASUS

