ASUS Malaysia hari ini mengumumkan pelancaran rasmi dua model komputer riba baharu iaitu Vivobook S14 dan Vivobook S16 yang bakal ditawarkan dalam pasaran tempatan bermula 19 Mei 2025. Kedua-dua model ini hadir sebagai peranti “AI-ready” dengan harga bermula RM3,199.
Dipasarkan dalam dua saiz iaitu 14 inci (S3407CA/VA) dan 16 inci (S3607VA), siri Vivobook S kali ini menampilkan rekaan moden dan nipis dengan ketebalan hanya 1.59cm serta berat serendah 1.39kg. Ia dikuasakan pemproses Intel Core Ultra generasi terbaru (sehingga Ultra 7 Series 2) digandingkan dengan Intel AI Boost, memori RAM DDR5 sehingga 16GB dan storan PCIe 4.0 SSD sebesar 1TB.
Antara penambahbaikan utama termasuk kehadiran butang khusus Copilot bagi capaian pantas ke pembantu AI Microsoft, sistem pembatalan hingar ASUS AI, teknologi video 3D Noise Reduction (3DNR) dan paparan anti-silau IPS dengan kadar segar semula sehingga 144Hz serta nisbah aspek 16:10. Skrin juga menawarkan nisbah skrin-ke-badan setinggi 89% lengkap dengan sistem audio Dolby Atmos.
Ciri lain yang ditawarkan termasuk bateri dengan jangka hayat sehingga 20 jam dan sokongan pengecasan pantas, sambungan WiFi 6, kamera FHD IR dengan sokongan Windows Hello dan pengatup fizikal privasi serta integrasi Microsoft Phone Link untuk perkongsian fail, mesej dan panggilan telefon mudah alih terus dari komputer riba.
Daripada segi sambungan, Vivobook S14 dan S16 hadir dengan dua port USB-C (dengan sokongan paparan dan pengecasan), dua port USB-A, port HDMI 1.4 dan bicu audio 3.5mm. Model ini ditawarkan dalam dua warna iaitu Cool Silver dan Matte Gray.
Harga rasmi yang diumumkan oleh ASUS Malaysia adalah seperti berikut:
- Vivobook S14 (S3407VA/S3607VA) – RM3,199
- Vivobook S14 (S3407CA) – RM4,099 (hanya dalam warna Cool Silver)
- Model Copilot+ dengan Snapdragon X (S3407QA/S3607QA) – Akan hadir pada Julai 2025
Untuk maklumat lanjut atau spesifikasi penuh, and boleh melayari laman rasmi ASUS Malaysia. Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengannya dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

