ASUS Malaysia telah melancarkan papan kekunci wayarles terbaru untuk pelbagai jenis peranti iaitu Marshmallow Keyboard KW100. Ia menampilkan saiz kompak dengan rekaan minimalis untuk penampilan yang kemas dan mudah dibawa.
Marshmallow Keyboard ini sesuai digunakan untuk tugasan harian, dengan kekunci yang boleh bertahan sebanyak 10 kali klik, mekanisme gunting (scissor keys), jarak tekan (travel) 1.6mm dan menghasilkan bunyi serendah 50 desibel sahaja dengan setiap tekanan.
Ia juga mempunyai tongkat yang boleh menyengetkannya pada dua sudut untuk pengalaman menaip yang lebih selesa. Ia dihubungkan melalui Bluetooth 5.0 LE dan boleh dihubungkan kepada tiga peranti serentak, sama ada komputer riba, komputer desktop atau tablet.
Ia menyokong penggunaan dengan sistem operasi Windows, ChromeOS, MacOS, iOS dan iPadOS. Papan kekunci ini akan dijual dalam pasaran Malaysia pada harga RM179.
Sementara itu, ASUS Malaysia turut menawarkan warna baharu untuk tetikus wayarles Marshmallow Mouse MD100 iaitu Oat Milk dan Green Tea Latte. Ini adalah pilihan warna sama dengan KW100, jadi anda boleh padankan kedua-dua aksesori dengan warna kegemaran anda.
Tetikus ini mempunyai butang yang boleh tahan sehingga 10 juta klik, dihubungkan melalui Blueottoh 5.0 serta menyokong penggunaan dengan Windows, ChromeOS dan MacOS. Ia memerlukan sebuah bateri AA untuk penggunaannya.
Tetikus ini akan dijual pada harga RM149. Layari laman web ASUS Malaysia untuk maklumat lanjut mengenai kedua-dua peranti ini.
Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengan aksesori di atas dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

