Jenama teknologi gaming terkemuka ASUS Republic of Gamers (ROG) baru-baru ini melancarkan siri beg baharu yang dikhaskan untuk membawa pelbagai peranti gaming anda, terdiri daripada ROG Slash Sling Bag 4.0, ROG Slash Sleeve 4.0 dan ROG Backpack 4.0.
ROG Slash Sling Bag 4.0 adalah beg silang yang sesuai untuk menyimpan ROG Ally atau lain-lain peranti gaming handhelds yang kecil. Ia dibina dengan bahan kalis air dan tahan koyak, manakala ruang utamanya dikunci menggunakan kancing (buckle) Fidlock yang mudah dibuka.
Talinya boleh dilaras untuk pelbagai saiz badan dan ia mempunyai cangkuk yang boleh berputar 360° supaya talinya tidak berbelit.
Untuk mereka yang inginkan beg silang yang lebih besar, ROG Slash Sleeve 4.0 mempunyai ruang yang cukup untuk menyimpan komputer riba 16 inci dan aksesorinya seperti tetikus dan pengecas. Ia mempunyai poket dan ruang tambahan untuk menyimpan pelbagai objek lagi.
Talinya turut mempunyai cangkuk yang boleh berputar 360° dan tiga titik pemasangan bagi memastikan pemakaian yang selesa sewaktu anda berjalan atau menunggang basikal. Selain itu, terdapat juga luggage sleeve untuk memasangkan beg silang ini pada beg bagasi yang lebih besar.
Akhir sekali, ROG Slash Backpack 4.0 merupakan beg galas dengan kapasiti 26 liter yang boleh menyimpan komputer riba 18 inci, dan ia ditutup menggunakan kain gulung yang dikunci menggunakan kancing Fidlock. Ruang utamanya juga boleh diakses menggunakan zip.
Terdapat juga poket-poket tambahan untuk menyimpan aksesori. Daripada segi rekaan, ia mempunyai warna hitam dengan pelbagai hiasan bertemakan ROG, serta dibuat daripada material tahan lasak. Bagi memastikan keselesaan pemakai, jaring mesh di bahagian belakangnya menyediakan aliran udara untuk pemakaian yang selesa dalam tempoh lama.
Berikut adalah senarai harga untuk produk-produk di atas:
ROG Slash Sling Bag 4.0: RM359
ROG Slash Sleeve Bag 4.0: RM329
ROG Slash Backpack 4.0: RM629
Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengan mana-mana beg di atas dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

