Site icon TechNave BM

ASUS menyebut ROG Phone 3 buat pertama kali, kembali di GeekBench dengan RAM 12GB

Terkini, ASUS buat pertama kalinya telah mengeluarkan sedikit informasi mengenai ASUS ROG Phone 3. Sekaligus, ini juga kali pertama nama ASUS ROG Phone 3 disebut secara rasmi. Bukan itu sahaja, peranti ini kembali muncul di GeekBench dengan beberapa jangkaan spesifikasi.

Nama peranti gaming ini disebut semasa pengumuman kolaborasi ASUS dengan syarikat terkenal dalam industri gaming, Unity. Antara kenyataan dalam pengumuman tersebut adalah pembinaan palam (plugin) Unity Engine yang telah hadir pada ROG Phone 2 untuk menyokong ciri teknologinya, begitu juga pada ROG Phone 3.

Terdahulu, kami telah memaklumkan kehadiran ROG Phone 3 di GeekBench dan WiFi Alliance, namun tiada spesifikasi yang boleh dijangkakan selain daripada RAM 8GB. Nombor model yang sama dilihat muncul sekali lagi di GeekBench, tetapi dengan RAM 12GB. Dengan ini, ASUS ROG Phone 3 mungkin hadir dengan varian RAM 8GB dan 12GB.

Melihat kepada spesifikasi tinggi peranti tahun 2020, berkemungkinan ia bakal dihuni paparan dengan kadar segar semula 144Hz, Snapdragon 865 dan Android 10. Mungkin kita boleh nantikan berita jangkaan spesifikasi yang lebih jelas selepas ini.

Kekal bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: 1 | 2

Exit mobile version