ASUS baru sahaja melancarkan siri monitor inovatif dengan VU Air Ionizer yang bukan sahaja memaparkan kandungan berkualiti tinggi tetapi juga membersihkan udara di sekeliling pengguna. Monitor ini direka untuk menapis alergen, debunga dan habuk udara untuk menjadikan ruang kerja lebih segar. Siri VU Air Ionizer hadir dengan tiga model berbeza.
VU249HFI-W bersaiz 23.8 inci dan VU279HFI-W bersaiz 27 inci yang kedua-duanya dilengkapi panel IPS Full HD dengan kadar segar semula 100Hz dan masa tindak balas 1ms MPRT. VU34WCIP-W merupakan model tertinggi yang berukuran 34 inci dengan resolusi 4K ultra lebar dan kelengkungan 1500R.
ASUS turut menyertakan teknologi SmoothMotion bagi memastikan visual pantas kekal jelas tanpa kesan bayang. Keunikan utama monitor ini ialah ionizer udara terbina dalam yang mampu menyingkirkan sehingga 90% habuk udara dalam masa tiga jam menggunakan teknologi nano-ion.
Berbeza dengan pembersih udara biasa, sistem ini tidak memerlukan penapis tambahan. Monitor ini turut dilengkapi dengan teknologi Eye Care Plus yang diperakui TÜV Rheinland termasuk mod Low Blue Light dan Flicker-Free bagi mengurangkan keletihan mata.
Selain itu, terdapat mod Color Augmentation bagi mereka yang mengalami kekurangan penglihatan warna serta peringatan rehat automatik untuk menggalakkan keseimbangan kerja dan rehat. ASUS mereka bentuk pembungkusan monitor ini agar boleh dikitar semula dan digunakan semula sebagai organizer meja, pemegang telefon atau penyangga komputer riba.
Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengan monitor yang ditawarkan dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.
Sumber: ASUS

