Site icon TechNave BM

ASUS ROG Ally dilengkapi Windows 11 bakal dilancarkan tidak lama lagi

ASUS yang mempunyai barisan peranti gaming di bawah jenama ROG sedang bersiap sedia untuk melancarkan konsol permainan pegang tangan iaitu ASUS ROG Ally untuk bersaing dengan Steam Valve. ASUS mengacah peranti baharu ini pada 1 April yang menyebabkan ramai percaya bahawa ia adalah jenaka April Fools.

Tetapi kini, jenama itu telah mengesahkan bahawa mereka sememangnya membina produk baharu. Berdasarkan maklumat yang dikongsi oleh syarikat itu, ROG Ally akan menjalankan sistem pengendalian Windows 11 dan akan dikuasakan oleh cipset AMD Ryzen. Terdapat juga kemungkinan untuk pengguna memasangkan GPU luaran untuk bermain permainan intensif sumber.

Salah satu sumber yang boleh dipercayai mendakwa bahawa peranti itu akan datang dengan paparan skrin sentuh 7 inci yang akan menawarkan resolusi skrin FHD 1080p dengan nisbah aspek 16:9 dan kadar penyegaran 120Hz. ROG Ally lebih kompak, nipis dan ringan sedikit daripada Steam Valve dengan berat 608 gram dan berukuran 280mm x 113mm x 39mm.

Pada masa ini, ASUS tidak mendedahkan tarikh pelancaran atau maklumat harga untuk ASUS ROG Ally. Walau bagaimanapun, peranti ini telah disenaraikan di Best Buy dan peminat ASUS ROG Ally boleh mendaftar untuk mendapatkan pemberitahuan apabila peranti tersedia untuk tempahan.

Kami percaya peranti itu akan dilancarkan dalam beberapa bulan akan datang tetapi perlu menunggu pengesahan rasmi daripada ASUS. Kongsi pendapat anda di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini. 

Exit mobile version