Site icon TechNave BM

ASUS ROG Zephyrus M16 dilancar di Malaysia: Komputer riba “gaming” WQHD, RTX 3070 bermula RM8,999

ASUS Malaysia hari ini telah melancarkan komputer riba gaming terbaru iaitu ASUS ROG Zephyrus M16 yang dilengkapi cipset Intel 11th Gen Core i9-11900H dan unit pemproses grafik (GPU) NVIDIA GeForce RTX 3070 untuk menjanakan prestasi terpantas dalam pelbagai game terkini. Ia boleh dibeli untuk pasaran tempatan bermula hari ini pada harga RM8,999 ke atas.

Antara ciri utama komputer ini adalah skrin berukuran 16 inci yang menawarkan resolusi WQHD, nisbah aspek 16:10, kadar segar semula 165Hz dengan Adaptive-Sync, gamut warna DCI-P3 100% serta pewarnaan Dolby Vision. Untuk audio pula, ia dilengkapi enam pembesar suara dengan teknologi Dolby Atmos dan mikrofon dengan teknologi Two-Way AI Noise Cancellation.

Walaupun ia adalah komputer riba gaming dengan spesifikasi canggih, ia masih mempunyai reka bentuk yang mudah dibawa ke mana-mana, dengan ketebalan 19.9mm dan berat 1.9kg sahaja. Pelanggan boleh memilih RAM DDR4-3200 sehingga 32GB dan storan SSD PCIe 4.0 sehingga 2TB.

Zephyrus M16 turut dilengkapi port Thunderbolt 4 untuk dihubungkan kepada monitor 4K luaran, satu port USB-C, dua port USB-A, sokongan WiFi 6, pembaca kad microSD serta pada sentuh (trackpad) yang lebih besar sebanyak 20% daripada generasi sebelumnya. Papan kekuncinya adalah jenis chiclet dengan pencahayaan latar RGB.

Tidak seperti kebanyakan komputer riba ASUS ROG lain yang dilancar pada tahun ini, Zephyrus M16 dilengkapi kamera webcam 720p.

Layari laman web ASUS Malaysia untuk maklumat lanjut tentang produk ini. Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengannya dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Exit mobile version