ASUS Malaysia baru-baru ini telah melancarkan siri komputer semua-dalam-satu (All-in-One, AiO) V400 yang terdiri daripada model 24 inci (V440VA) dan 27 inci (V470VA). Siri ini direka khas untuk pengguna moden sama ada di rumah mahupun di tempat kerja dengan gabungan rekaan minimalis, paparan cantik dan prestasi hebat.
ASUS V400 AiO dilengkapi dengan paparan sentuh NanoEdge FHD dengan kadar segar semula 75Hz disertai 100% liputan warna sRGB dan pensijilan TÜV Rheinland untuk keselesaan mata. Bezel nipis memberikan nisbah skrin ke badan sehingga 93% menjadikan visual lebih luas dan memuaskan.
Daripada segi prestasi, ia dijana pemproses hingga Intel Core i7-13620H, memori DDR5 16GB dan storan SSD sehingga 1TB. Ciri audio juga dititikberatkan dengan pembesar suara stereo berkuasa dan sokongan Dolby Atmos serta rekaan bass-refleks. Kamera boleh sorok dengan teknologi ASUS AiSense pula memberikan privasi serta kualiti panggilan video lebih baik.
Turut dimuatkan ialah ciri ASUS AI ExpertMeet dengan sokongan kecerdasan buatan. Untuk sambungan fizikal, ASUS V400 AiO dilengkapi pelbagai port yang praktikal. Pada bahagian belakang, ia menempatkan satu port HDMI-out, tiga port USB 3.2 Type-A, satu port USB-C, port LAN RJ45 dan input kuasa.
Manakala pada bahagian sisi pula terdapat satu port USB 2.0 Type-A, satu bicu audio kombo untuk fon kepala atau mikrofon serta slot kunci Kensington untuk keselamatan tambahan. Menambah kepada kemudahan penggunaan, setiap unit turut didatangkan bersama papan kekunci dan tetikus wayarles.
Harga bermula daripada RM3,799 dan setiap pembelian didatangkan dengan waranti perkhidmatan di tapak selama tiga tahun. Untuk maklumat lanjut, sila layari laman rasmi ASUS Malaysia di sini. Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengannya dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

