Site icon TechNave BM

ASUS Vivobook 13 Slate OLED dilancar di Malaysia: Komputer riba OLED 13.3″ berharga RM3,499

ASUS Malaysia telah melancarkan komputer riba 2-dalam-1 yang terbaru iaitu ASUS Vivobook 13 Slate OLED (T3300) yang boleh digunakan seperti komputer riba atau tablet. Ia mempunyai skrin OLED berukuran 13.3 inci yang boleh dicabut dan digunakan secara sentuh seperti tablet.

Skrin tersebut mempunyai nisbah aspek 16:9, gamut warna DCI-P3 100% untuk penjanaan 1.07 bilion warna, pengiktirafan PANTONE Validated, DisplayHDR True Black 500 untuk warna hitam yang gelap, nisbah kontras 1,000,000:1 dan waktu tindak balas 0.2 milisaat.

Komputer ini turut disertakan bersama stilus ASUS Pen 2.0 yang menyokong Microsoft Pen Protocol 2.0, hubungan Bluetooth, pengecasan USB-C dan kadar sampling rate 266Hz. Mata pena stilus ini boleh diubah untuk menyerupai pensel 2H, H atau HB bagi pengalaman lukisan yang mirip pada kertas sebenar.

Daripada segi spesifikasi, ia dilengkapi cipset Intel empat teras dengan kelajuan clock 3.3GHz, storan SSD PCIe Gen 3.0 256GB, RAM LPDDR4X RAM, bateri 50Whr, sokongan WiFi 6 dan sistem operasi Windows 11. Ia turut mempunyai dua kamera yang terdiri daripada kamera webcam 5MP dengan teknologi AI Noise-Canceling Audio serta kamera belakang 13MP.

ASUS Vivobook 13 Slate OLED akan dijual di Malaysia bermula 25 Januari 2022 pada harga RM3,499. Pelanggan akan turut menerima langganan percuma untuk Adobe Creative Cloud dan Xbox Game Pass Ultimate selama sebulan.

Layari laman web ASUS Malaysia untuk maklumat lanjut tentang komputer ini. Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengannya dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Exit mobile version