ASUS Malaysia mengesahkan bahawa mereka akan melancarkan komputer riba ASUS Zenbook 14X OLED (UX3404) yang merupakan komputer tercanggih dalam siri Zenbook Classic setakat ini. Bagi menawarkan prestasi terpantas, ia bakal dilengkapi cipset Intel Core 13th Gen H-Series yang baru dilancar pada awal tahun ini.
Skrinnya berukuran 14.5 inci dengan panel OLED HDR, resolusi 2.8K, kadar segar semula 120Hz dan nisbah aspek 16:10. Skrin ini boleh menjana kualiti warna yang sangat tinggi, dengan gamut warna DCI-P3 100% dan pengiktriafan DisplayHDR True Black 600.
Ia turut mempunyai pengiktirafan TÜV Rheinland untuk pancaran cahaya biru yang selamat pada mata pengguna. Terdapat juga sebuah varian yang boleh digunakan secara sentuh.
Komputer ini turut dilengkapi unit pemproses grafik (GPU) NVIDIA GeForce RTX 3050, RAM LPDDR5 sehingga 32GB, storan SSD PCIe 4.0 x4 sehingga 1TB, sistem penyejukan ASUS IceCool dan bateri 70Wh dengan pengecasan pantas yang boleh dihubungkan melalui port USB-C.
Ia mempunyai reka bentuk yang nipis (16.9mm) dan ringan (1.5kg) untuk memudahkan pengguna membawanya ke mana-mana. Ia akan ditawarkan dalam dua warna iaitu kelabu Inkwell Gray dan perang Sandstone Beige.
Setakat ini ASUS Malaysia masih belum mengumumkan harga rasmi untuk komputer ini, namun ia akan dijual bermula pertengahan Februari 2023. Layari laman web ASUS untuk maklumat lanjut.
Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengan komputer ini dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

