Asus baru sahaja melancarkan Zenbook 14X OLED Space Edition untuk menyambut ulang tahun ke-25 komputer riba Asus yang pertama dihantar ke angkasa lepas. Edisi terhad Asus Zenbook 14X OLED Space Edition hadir dengan reka bentuk futuristik yang diinspirasikan daripada kapal angkasa.
Ia membawakan panel OLED 14 inci 2880 x 1800p dengan kadar penyegaran 90Hz, nisbah bidang 16:10, sokongan sentuhan, 100% DCI-P3 dan 133% sRGB, serta nisbah kontras 1,000,000:1. Ketepatan warna skrin ini juga telah disahkan oleh Pantone. Ia boleh mencapai sehingga 550 nits kecerahan dan ia diperakui untuk VESA DisplayHDR True Black 500.
Selain daripada paparan utama di bahagian hadapan, peranti ini juga membawa bersama paparan OLED 3.5 inci pada bahagian belakang yang boleh memaparkan pelbagai animasi, pemberitahuan, status bateri, tarikh dan masa serta teks yang boleh ditetapkan pengguna.
Aspek istimewa lain bagi komputer riba ini ialah ia mengikut Piawaian Sistem Angkasa AS (SMC-S-016A) yang menjadikannya tahan terhadap getaran dan suhu yang sangat rendah atau tinggi. Peranti ini juga sepadan dengan piawaian ketahanan MIL-STD-810H.
ASUS ZenBook 14X OLED Space Edition dikuasakan oleh Intel Core i9-12900H dengan 14 teras dan 20 benang. Untuk grafik, komputer riba membawakan grafik Intel Iris Xe bersepadu. Cipset berkuasa itu dipasang dengan RAM LPDDR5 32GB dan 1TB PCIe Gen 4 SSD.
Kerana skrinnya 14 inci, ia tidak mempunyai pad nombor. Namun, masih terdapat pad sentuh yang berfungsi sebagai pad nombor maya. Terdapat beberapa port yang terdapat pada peranti ini seperti dua port Thunderbolt 4, USB-A, HDMI, bicu audio dan pembaca kad SD. Asus juga menyediakan penyesuai USB-A ke RJ45 Gigabit Ethernet di dalam kotak.
ASUS ZenBook 14X OLED Space Edition hadir dalam warna “Zero-G Titanium” dengan tanda harga $1,999 (~RM8,465). Namun, kami masih belum menerima maklumat rasmi tentang ketersediannya dalam pasaran Malaysia. Adakah anda berminat dengan komputer riba ini?
Kongsikan pendapat anda di Facebook kami dan nantikan berita seterusnya bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia.
Sumber: Gizmochina

