Site icon TechNave BM

ASUS Zenfone 10 mungkin jadi telefon terakhir dalam siri Zenfone

ASUS Zenfone 10 telah dilancar pada bulan Jun lalu dan ia menampilkan reka bentuk yang kompak untuk sebuah telefon pintar andalan (flagship), menjadikannya peranti yang sangat menarik untuk mereka yang menggemari telefon saiz kecil. Sungguh pun begitu, kini terdapat laporan mengatakan Zenfone 10 bakal menjadi telefon terakhir dalam siri tersebut.

Menurut media Finance Tech News dari Taiwan, ASUS dilapor akan menamatkan siri Zenfone sebagai sebahagian daripada penstrukturan semula organisasinya. Mereka dimaklumkan mengenai perkara tersebut melalui pengumuman dalaman yang diedarkan kepada para pekerja ASUS.

Walaupun ASUS mengatakan tiada orang yang akan dibuang kerja, mereka gagal mematuhi komitmen tersebut dan telah memberhentikan beberapa pekerja dalam jabatan PC di Taiwan dan Suzhou, China pada Julai lalu.

ASUS dikhabar akan mengurangkan tenaga pekerjanya sebanyak 50 peratus, melibatkan jabatan kejuruteraan dan perolehan. Para pekerja yang sebelum ini terlibat dengan pembangunan Zenfone akan dimasukkan ke dalam kumpulan ROG Phone dan ia bakal menjadi telefon utama oleh ASUS pada masa akan datang.

Setakat ini masih tiada maklumat rasmi daripada ASUS berkenaan ini. Jika benar, para pelanggan tidak boleh lagi membeli telefon yang mempunyai spesifikasi tercanggih namun dengan reka bentuk yang kompak.

Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengan telefon ini dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: Finance Tech News

Exit mobile version