Site icon TechNave BM

ASUS Zenfone 7 Pro bakal dijana Snapdragon 865 Plus, kelajuan 3.09GHz

Dalam keterujaan peminat menanti kemunculan ASUS ROG Phone 3 yang bakal dilancarkan pada 22 Julai ini, peminat Zenfone juga tidak terlepas dari berita gembira. Terkini, sumber mendedahkan kelajuan clocking ASUS Zenfone 7 dan ASUS Zenfone 7 Pro yang bakal hadir pada bulan-bulan seterusnya.

Menurut sumber, kelajuan clocking pada siri Zenfone 7 mempunyai dua kelajuan. Hal ini menandakan bahawa ia mungkin bakal hadir dengan dua siri cipset juga. Kita semua sudah sedia tahu bahawa Snapdragon 865 menandakan kelajuan 2.84GHz. Kelajuan lebih tinggi yang dilihat, 3.09GHz pula didakwa mungkin mewakili Snapdragon 865 Plus.

Dakwaan ini tidak mustahil kerana Snapdragon 865 Plus telah diumumkan dan beberapa jenama turut bakal melancarkan peranti dengan cipset tersebut. Melalui berita lepas, ia juga dijangka hadir dengan storan besar sehingga 512GB dan bateri 5000mAh. Apa pun, kami masih tiada maklumat rasmi berkenaan spesifikasi dan tarikh rasmi pelancarannya setakat ini.

Adakah ASUS Zenfone 7 dan versi Pro ini bakal mendapat tempat di hati pengguna telefon pintar di pasaran Malaysia? Beritahu pandangan anda di laman Facebook dan kekal bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: Gizmochina

Exit mobile version