Site icon TechNave BM

ASUS Zenfone 8 akan dilengkapi rating kalis air IP68

Telefon pintar andalan ASUS Zenfone 8 dijadualkan untuk dilancar pada hari Rabu, 12 Mei dan ASUS mengatakan telefon itu bakal menawarkan prestasi tinggi dengan reka bentuk yang kecil. Spesifikasi rasmi untuk telefon itu masih belum diketahui, namun ASUS kini mula memberikan lebih banyak maklumat tentangnya dengan tarikh pelancaran yang semakin hampir.

Dalam akaun rasmi di Twitter, ASUS telah memuat naik sebuah video yang mengesahkan kewujudan rating kalis air dan debu IP68 dalam Zenfone 8. Ini bermaksud telefon tersebut boleh ditenggelami air sehingga kedalaman 1.5 meter selama 30 minit.

Kewujudan rating IP68 menimbulkan tanda tanya untuk telefon tersebut, sama ada ia akan dilengkapi kamera lipat (flip camera) seperti yang terdapat pada ASUS Zenfone 7. Mekanisme tersebut pasti akan menyukarkan kebolehan telefon untuk menghalang air daripada masuk ke dalam badan telefon, jadi mungkin Zenfone 8 akan mempunyai kamera statik seperti kebanyakan telefon pintar.

Adakah anda berminat untuk melihat kamera lipat dalam Zenfone 8? Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengan telefon ASUS ini dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Exit mobile version