Site icon TechNave BM

AWS pilih Perak untuk bangunkan loji solar 23MW pertama di Malaysia

Amazon Web Services (AWS) mengumumkan perjanjian tenaga bebas karbon pertama mereka di Malaysia menerusi kerjasama bersama Elphil Energy untuk pembangunan loji solar berkapasiti 23 megawatt (MW) di Sungai Siput. Menerusi perjanjian jangka panjang, AWS akan menyokong pembangunan kapasiti tenaga bersih berskala utiliti baharu dan memperluaskan campuran tenaga boleh diperbaharui di Malaysia.

Menurut AWS, ini juga merupakan perjanjian tenaga bebas karbon pertama syarikat itu di Malaysia sejak pelancaran AWS Malaysia Region pada tahun 2024. Pelaburan tersebut selari dengan sasaran tenaga bersih negara dan menunjukkan komitmen sektor teknologi dalam mempercepatkan penggunaan tenaga boleh diperbaharui.

Projek itu turut menyokong sasaran Malaysia untuk mencapai 40 peratus kapasiti tenaga boleh diperbaharui menjelang tahun 2035. AWS menjelaskan bahawa pelaburan tenaga hijau kini menjadi sebahagian daripada strategi utama syarikat dalam menyokong pertumbuhan pusat data, pembangunan AI, startup dan operasi digital berskala besar di Malaysia.

Pelaburan dalam tenaga bebas karbon membantu syarikat memenuhi permintaan tenaga yang semakin meningkat seiring transformasi digital negara. AWS juga sedang bergerak ke arah sasaran Climate Pledge mereka untuk mencapai operasi sifar karbon menjelang tahun 2040. Loji solar di Perak itu dijangka mampu menjana tenaga yang bersamaan penggunaan lebih 50,000 rumah di Malaysia setiap tahun.

Dalam masa sama, Asiabina Group yang merupakan syarikat induk kepada Elphil Energy turut disebut sebagai antara pemain utama pembangunan Large-Scale Solar (LSS) di Malaysia. Sejak menubuhkan divisyen tenaga boleh diperbaharui pada tahun 2017, Asiabina telah membangunkan lebih 270MW projek solar termasuk loji LSS 50MW di Perak.

Kongsi pendapat anda di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini

Exit mobile version