Site icon TechNave BM

AYANEO perkenalkan Gaming Pad dan Pocket S2, peranti pertama dilengkapi SD G3 Gen 3

AYANEO, sebuah syarikat yang terkenal dengan peranti permainan mudah alihya telah mengumumkan dua peranti baharu yang dikuasakan oleh cip Snapdragon G3 Gen 3 dengan AYANEO Gaming Pad dan AYANEO Pocket S2. Menariknya, kedua-dua peranti ini adalah yang pertama menggunakan cipset Snapdragon G3 Gen 3 dalam pasaran.

AYANEO Gaming Pad menampilkan skrin LCD 8.3 inci dengan resolusi 1440p dan kadar segar semula 120Hz. Reka bentuk menggunakan rangka logam sepenuhnya dan bagi edisi Explorer, terdapat panel belakang kaca lutsinar. Cip Snapdragon G3 Gen 3 yang digunakan dilengkapi dengan sistem penyejukan aktif untuk memastikan prestasi stabil semasa sesi permainan yang panjang.

Peranti ini juga menyokong pengawal teleskopik selain pengawal lain, papan kekunci dan tetikus. Ia turut dilengkapi dengan giroskop enam paksi untuk kawalan gerakan, pembesar suara empat ruang, kamera hadapan 5MP untuk penstriman langsung dan kamera utama 50MP serta kamera ultra lebar 13MP 120° di bahagian belakang.

Bagi mereka yang mencari peranti yang lebih mudah alih, AYANEO Pocket S2 menawarkan skrin IPS LCD 6.3 inci dengan resolusi 1440p+ dan butang kawalan terpasang secara tetap pada peranti ini. Seperti Gaming Pad, Pocket S2 juga menggunakan cip Snapdragon G3 Gen 3 dengan sistem penyejukan aktif.

Ia dilengkapi dengan joystick dan trigger berasaskan teknologi Hall effect, motor X-paksi ganda untuk maklum balas haptik dan badan yang diperbuat daripada logam yang dihasilkan melalui proses CNC. AYANEO mendakwa peranti ini mempunyai bateri terbesar dalam kategori peranti Android seumpamanya walaupun kapasiti sebenar belum diumumkan.

Setakat ini, AYANEO belum mengumumkan tarikh pelancaran atau harga untuk kedua-dua peranti ini. Maklumat lanjut boleh didapati di laman web rasmi AYANEO dan saluran Discord rasmi mereka. Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengan salah satu di atas dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: Ayaneo 1|2

Exit mobile version