Site icon TechNave BM

Bank Islam lancarkan bank digital berasaskan teknologi awan pertama di Malaysia

Pada hari ini, Bank Islam telah melancarkan aplikasi Be U (disebut Be You) iaitu sebuah perkhidmatan bank digital berasaskan teknologi awan sepenuhnya. Ia membenarkan pengguna untuk melakukan transaksi perbankan tanpa perlu mengunjungi cawangan Bank Islam.

Bank Islam menyasarkan perkhidmatan ini untuk dimanfaatkan oleh golongan muda dan celik digital. Ia bakal menawarkan beberapa kemudahan bank asas seperti akaun simpanan yang membenarkan baki sifar, fungsi pindahan dana dan ciri Nest untuk penabungan wang.

Para pelanggan boleh membuka akaun Be U tanpa sebarang caj. Dalam tempoh 12 bulan akan datang, Bank Islam bakal menambah fungsi-fungsi baharu seperti deposit bertempoh, pasaran gig, kad debit, pengurusan kewangan peribadi, pembiayaan mikro dan takaful mikro.

Be U menggunakan Mambu Digital Core sebagai tulang belakang teknologinya dan berpengkalan di Amazon Web Services (AWS). Ia telah pun ditawarkan kepada orang ramai sejak Jun lalu dan Bank Islam menyasarkan sehingga 400,000 muat turun dalam tempoh 12 bulan pertama operasinya.

Lawati laman web Be U untuk maklumat lanjut, atau muat turun daripada Google Play Store atau Apple App Store. Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengan bank ini dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Exit mobile version