Site icon TechNave BM

Beam lancarkan gudang sentral pertama di Malaysia, hub penyelenggaran e-skuter

Pengendali khidmat mikromobiliti yang terbesar di Asia Pasifik, Beam Mobility, telah melancarkan gudang sentral sebesar 8,000kps yang bertempat di Subang Jaya, Selangor bagi menampung perkembangannya di sini. Ia bagi menjamin bekalan yang stabil bagi bateri-bateri bercas penuh serta penyelenggaraan perkakasan bagi kenderaannya.

Di samping itu, ia akan berfungsi sebagai hab pengedaran, baik pulih dan ujian perkakasan yang utama di Malaysia selain turut menjadi hab utama bagi menerima penghantaran dari luar negara dan bagi penghantaran alat ganti ke gudang-gudang Beam yang lain di seluruh Malaysia.

Tambahan, pelancaran gudang sentral ini juga dijangka dapat menambah peluang pekerjaan dalam ekonomi sambilan. Setiap e-skuter didatangkan bersama peranti penjejakan GPS IoT dan sebuah sistem khas untuk membolehkan Beam memantau kenderaan berkenaan yang akan menggera pasukan Beam jika ia perlu dibawa pulang ke gudang tersebut untuk diselenggara.

Terdapat juga peluang buat penduduk tempatan untuk mendapatkan pekerjaan sebagai Beam Rangers iaitu pasukan kerja yang akan meronda kawasan Lembah Klang untuk mengambil, mengagih, dan menyelenggara e-skuter Beam bagi memenuhi keperluan pengguna awam dan juga standard keselamatan tertinggi seperti yang ditetapkan oleh pihak berkuasa.

Inisiatif ini juga menjadi sebahagian daripada penglibatan Beam dalam program eRezeki oleh Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) untuk menjana peluang pekerjaan dalam ekonomi perkongsian. Akhir sekali, gudang sentral tersebut juga akan terus membantu Beam menunaikan komitmennya dari sudut ESG (Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus).

Sekiranya ada komponen yang tidak lagi diperlukan selepas kerja membaik pulih, Beam akan menghantarnya kepada rakan kongsi mereka untuk memastikan ia dikitar semula dengan selamat dan sewajarnya sekali gus meminimumkan pembaziran.

Kongsi pendapat anda tentang berita ini di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Exit mobile version