Site icon TechNave BM

Beberapa iklan gambar dan video untuk siri Samsung Galaxy S22 tertiris di internet

Samsung dijangka bakal melancarkan siri telefon pintar andalan terbaru, Samsung Galaxy S22, pada 9 Februari 2022 dan kini pelbagai maklumat awal tentang telefon itu telah pun tertiris. Kini, maklumat terbaru tentang siri peranti itu datang daripada bahan pengiklanan yang tertiris berkenaannya.

Seorang pengkhabar berita teknologi dari Korea Selatan @dohyun854 telah berkongsi sebuah poster yang menunjukkan butiran tentang varian S22 iaitu Galaxy S22, Galaxy S22 Plus dan Galaxy S22 Ultra. Poster itu menunjukkan spesifikasi serta rekaan ketiga-tiga varian dan pilihan warnanya.

Semua butiran dalam poster itu menunjukkan spesifikasi yang telah pun dikhabarkan sebelum ini, termasuklah rupa Galaxy S22 Ultra yang menyerupai peranti Galaxy Note serta dilengkapi stilus dalaman. Satu iklan juga menunjukkan fungsi Super Resolution Photo, di mana kamera Galaxy S22 akan meningkatkan kualiti gambar yang diambil menggunakan ketiga-tiga kamera di dalamnya.

Pra-tempahan untuk siri Galaxy S22 dikhabarkan akan bermula pada 14 Februari manakala jualan rasmi akan bermula pada 25 Februari. Beritahu kami di Facebook jika anda berminat untuk memiliki peranti ini dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Exit mobile version