Site icon TechNave BM

Beberapa lagi syarikat tarik diri daripada MWC 2020

Sebelum ini, LG Electronics mengumumkan bahawa mereka telah menarik diri daripada menyertai Kongres Mudah Alih Sedunia (MWC) 2020 di Barcelona pada hujung bulan ini kerana bimbang dengan penularan wabak Coronavirus. Sekarang, nampaknya beberapa syarikat juga telah mengikut langkah syarikat Korea Selatan itu atas sebab yang sama.

NVIDIA telah mengeluarkan kenyataan bahawa mereka tidak akan menghantar para pekerjanya ke majlis itu kerana risiko kesihatan yang timbul daripada penularan Coronavirus. “Ketiadaan kami amat dikesali tetapi kami yakin bahawa ini adalah keputusan yang betul,” kata syarikat itu dalam kenyataannya.

Sementara itu, Ericsson juga turut menarik diri daripada menyertai kongres tersebut. CEO syarikat telekomunikasi dari Sweden itu menyatakan, “ini adalah sesuatu yang amat malang tetapi kami sangat percaya bahawa keputusan bisnes yang paling bertanggungjawab sekarang adalah untuk menarik diri daripada menyertai majlis tahun ini.” Ericsson akan menganjurkan majlisnya sendiri, Ericsson Unboxed, untuk mengganti ketiadaannya di MWC 2020.

Syarikat pengilang alat telekomunikasi dari China, ZTE, juga menarik diri daripada menyertai MWC. Selain risau akan penularan Coronavirus, wakil dari syarikat itu menyatakan kesukaran untuk mendapatkan visa buat para pekerja mereka juga adalah antara faktor yang membuatkan mereka menarik diri.

Ketika artikel ini ditulis, MWC 2020 masih dijadualkan untuk berjalan seperti biasa. Kongsi pendapat anda di Facebook kami jika anda merasakan MWC akan berjalan seperti biasa tahun ini dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Exit mobile version