Site icon TechNave BM

Beberapa tiang pemancar 5G di UK dibakar kerana teori konspirasi “5G menyebabkan koronavirus”

Sekurang-kurangnya tiga tiang pemancar 5G di United Kingdom (UK) telah dibakar oleh pihak tidak bertanggungjawab kerana mereka mempercayai teori konspirasi yang semakin menular, mengatakan bahawa gelombang radio 5G mempunyai hubungan dengan penularan koronavirus yang menyebabkan penyakit COVID-19.

Pihak berkuasa UK mengutuk sekeras-kerasnya perbuatan tersebut dan mengatakan bahawa teori konspirasi tersebut adalah sangat mengarut. Pengarah Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan (NHS) Stephen Powis pula mengatakan ini adalah sangat menghampakan kerana ia akan menjejaskan kebolehan pihak perubatan untuk mengawal penularan wabak ini.

Terdapat beberapa teori konspirasi mengatakan bahawa 5G melemahkan sistem imunisasi badan dan koronavirus menggunakan gelombang radio 5G untuk menularkannya. Saintis sudah pun mengesahkan bahawa gelombang radio 5G tidak memainkan peranan langsung dalam penularan COVID-19. Selain itu, COVID-19 juga telah tersebar luas dalam negara yang tidak dilengkapi 5G seperti Iran dan Jepun.

Marilah kita bersama-sama mendidik minda dan menolak berita palsu ini sebelum ia sampai ke negara kita. Kongsi pendapat anda tentang berita ini di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: BBC

Exit mobile version