Site icon TechNave BM

Bekalan konsol “gaming” termasuk PlayStation 5 dan Nintendo Switch akan terjejas sepanjang 2021

Masalah kekurangan semikonduktor yang melanda seluruh dunia kini menyukarkan industri teknologi untuk menghasilkan produk elektronik baru kerana setiap produk memerlukan cip semikonduktor sebagai komponen utama. Isu ini menjejaskan bekalan untuk pelbagai elektronik termasuklah telefon pintar, komputer, kereta elektrik, konsol gaming dan banyak lagi.

Sony telah pun memberi amaran bahawa konsol PlayStation 5 (PS5) akan dijual dalam kuantiti yang rendah sehingga 2022. Syarikat Jepun itu merancang untuk menjual sebanyak 14.8 juta unit PS5 pada tahun ini, namun mereka mungkin akan mengalami masalah untuk mencapai sasaran tersebut berikutan masalah kekurangan semikonduktor.

Bagi mengurangkan impak oleh kekurangan semikonduktor, Sony mungkin akan mengubah rekaan konsol PS5 atau membeli komponen daripada syarikat lain.

Sementara itu, Nintendo juga mengalami masalah yang sama terhadap penghasilan konsol Nintendo Switch. Presiden Nintendo, Shuntaro Furukawa, mengatakan perancangan pengilangan konsol tersebut akan mengalami ketidaktentuan kerana masalah kekurangan semikonduktor.

Setakat ini, jualan Nintendo Switch pada 2021 adalah tiga juta unit lebih rendah berbanding tempoh yang sama pada 2020. Jualan yang lebih tinggi pada tahun lepas itu mungkin telah didorong oleh populariti game Animal Crossing yang mendapat sambutan hangat sewaktu kuarantin COVID-19.

Segala masalah ini mungkin akan mempengaruhi harga kedua-dua konsol tersebut pada tahun 2021. Kongsi pendapat anda tentang berita ini di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: Bloomberg, VGC

Exit mobile version