Site icon TechNave BM

Bekerja dari rumah? Ini 5 tips yang akan membantu anda mengekalkan produktiviti

Jika anda perlu bekerja dari rumah sepanjang Perintah Kawalan Gerakan dilaksanakan, mungkin anda perlukan sedikit masa untuk menyesuaikan rutin kerja yang baru ini. Berikut adalah tips untuk mengoptimumkan masa pekerjaan anda di rumah:

  1. Kurangkan gangguan. Semestinya akan ada banyak gangguan yang akan menyukarkan perhatian anda sewaktu bekerja dari rumah, daripada televisyen hinggalah ke katil anda yang empuk. Dengan ketiadaan bos untuk menyelia, anda juga mungkin tergoda untuk mengurangkan kerja. Demi memudahkan anda fokus, jadualkan masa anda untuk imbangkan kerja dan waktu rehat. Sebagai contoh, kerja selama dua jam dan rehat selama setengah jam. Selain itu, matikan sebarang notifikasi dalam telefon yang tidak berkaitan dengan kerja anda.
  2. Sediakan kalendar kerja. Sebelum Perintah Kawalan Gerakan ini diumumkan, tentunya syarikat anda sudah pun menetapkan tarikh dan garis masa kerja sepanjang tempoh Perintah ini dikuat kuasakan. Memandangkan rakan sekerja anda tidak ada bersama anda di rumah, tiada orang yang akan mengingatkan anda jika anda terlupa tarikh-tarikh penting. Oleh itu, sediakan kalendar anda sendiri. Lebih elok lagi jika anda dan rakan sekerja boleh berkongsi Google Calendar untuk berkongsi jadual masing-masing.
  3. Sentiasa berhubung dengan rakan sekerja. Pekerjaan adalah sebuah usaha berpasukan, jadi walaupun anda bekerja dari rumah tidak bermakna anda perlu mengabaikan hubungan bersama rakan kerja anda. Gunakan perisian komunikasi seperti Skype atau Google Hangout untuk sentiasa berhubung dengan rakan sekerja anda.
  4. Tetapkan masa kerja dengan bos anda. Memandangkan anda tidak perlu lagi mengharung trafik waktu puncak dan merekod waktu masuk-keluar di tempat kerja, anda mungkin boleh berunding dengan bos tentang waktu kerja. Bincang dengan bos anda jika anda perlu bekerja seperti dalam masa yang biasa (seperti 9 pagi – 5 petang), atau pun anda boleh bekerja dengan waktu yang fleksibel (flexible hours) asalkan anda memenuhi jumlah jam kerja yang diperlukan.
  5. Jadualkan kemas kini (updates) untuk aplikasi dan peranti anda setiap malam. Kadang-kala pemasangan kemas kini untuk perisian, peranti atau aplikasi yang anda perlukan untuk pekerjaan di rumah boleh memakan masa yang lama, jadi jadualkannya sebelum anda tidur. Ini akan membuatkan masa kerja anda tidak diganggu oleh sesuatu yang remeh.

Jika anda ada tips lagi untuk bekerja di rumah dengan lebih cekap, kongsikannya di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Exit mobile version