Inisiatif Rakyat Digital akan diteruskan pada 2027 dengan penyediaan 100,000 langganan perkhidmatan kecerdasan buatan (AI) percuma. Perkara itu diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, ketika membentangkan Belanjawan 2027 sebagai kesinambungan kepada program yang mula diperkenalkan pada penghujung Ogos lalu untuk golongan berusia 18 hingga 30 tahun.
Antara perkembangan baharu yang diumumkan ialah penyertaan ChatGPT dalam senarai perkhidmatan yang ditawarkan menerusi inisiatif berkenaan. Pada pelaksanaan sebelum ini, pengguna hanya diberikan akses kepada Google, ILMUchat daripada YTL AI Labs, MuleRun dan WonderClip daripada Alibaba Cloud.
Selain akses kepada perkhidmatan AI, Rakyat Digital turut menyediakan peluang pembelajaran dalam talian tanpa bayaran menerusi kerjasama dengan Coursera. Platform itu menawarkan lebih 16,000 kursus serta program Sijil Profesional yang dibangunkan oleh universiti dan organisasi industri terkemuka di seluruh dunia.
Kongsi pendapat anda di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

