Site icon TechNave BM

Belia berusia 18-20 tahun akan terima RM150 bawah inisiatif e-Pemula

Kerajaan akan memperkenalkan program bantuan kewangan e-Pemula tidak lama lagi, di mana ia bertujuan untuk membantu golongan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) yang berusia 18 hingga 20 tahun.

Menurut Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, setiap penerima e-Pemula akan menerima RM150 secara one-off dalam bentuk kredit e-dompet. Kerajaan bakal memperuntukkan RM300 juta bagi menyediakan bantuan e-Pemula ini yang akan memanfaatkan lebih dua juta belia di seluruh negara.

Beliau membuat kenyataan ini dalam acara Bengkel Pengurusan Kewangan My Money & Me sempena Global Money Week 2022 secara maya pada hari ini. Antara nasihat yang dikongsi olehnya termasuklah kawalan diri dalam mengagihkan simpanan dan berjinak-jinak dengan dunia pelaburan.

Golongan belia akan terus menerima pembiayaan melalui Bajet 2022, contohnya para usahawan muda boleh mendapatkan Pelan Pembiayaan Belia Usahawan sebanyak RM150 juta yang ditawarkan melalui Bank Simpanan Nasional (BSN) dan Agrobank.

Kerajaan juga telah mula membayar elaun sebanyak RM9,000 kepada pelajar yang menjalani program latihan industri sejak 2019 bagi mengurangkan beban kewangan golongan belia.

Kongsi pendapat anda tentang berita ini di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: Utusan Malaysia

Exit mobile version