Site icon TechNave BM

Bersalah sebar berita palsu boleh didenda hingga RM100,000, berkuat kuasa hari ini

Sebelum ini, penyebaran berita palsu sudah lama bersarang dalam kalangan rakyat. Namun, ia dilihat semakin berleluasa bermula ketika pandemik COVID-19 melanda. Pesalah yang menyebarkan berita palsu kini boleh didenda sehingga RM100,000 jika disabit kesalahan.

Menurut Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) (No 2) 2021 yang diwartakan semalam (11 Mac 2021), individu yang menyebarkan berita palsu dengan cara apa pun, dengan niat untuk menyebabkan atau yang mungkin menimbulkan ketakutan atau kebimbangan kepada awam boleh dikenakan denda tidak lebih RM100,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun, atau kedua-duanya jika disabit kesalahan.

Menurut Ordinan juga, mahkamah boleh memerintahkan pihak penerbitan untuk menghapuskannya jika dianggap palsu dan boleh memerintahkan pesalah untuk buat pernyataan maaf. Jika gagal, pesalah akan dikenakan denda tambahan hingga RM50,000 atau penjara tidak lebih setahun, atau kedua-duanya.

Untuk pengetahuan anda, berita palsu didefinisikan sebagai sebarang berita, maklumat, data dan laporan yang keseluruhannya atau sebahagiannya adalah palsu tidak kira berhubung COVID-19 atau isu darurat. Ordinan ini akan berkuat kuasa mulai hari ini (12 Mac 2021).

Kami juga menyarankan anda untuk menyemak dulu kesahihan berita sebelum menyebarkannya. Kekal bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: MStar

Exit mobile version