Site icon TechNave BM

Bersedia untuk pelancaran POCO F2 Pro, spesifikasi ‘flagship’ dengan anggaran harga ~RM2,823

Baru-baru ini, POCO telah memuat naik beberapa perkongsian yang mengacah kehadiran POCO F2 Pro melalui laman Twitternya. Berdasarkan acahan ini, yang dinantikan seterusnya adalah tarikh rasmi pelancarannya dalam waktu yang terdekat.

Acahan ini bermula pada Hari Pekerja lalu melalui sebuah perkongsian dengan kapsyen yang menarik. Ciapan tersebut disusuli dengan sebuah lagi muat naik berserta poster untuk menarik perhatian orang ramai. Dengan penggunaan slogan #WakeUpPOCO, akhirnya POCO mengesahkan bahawa POCO akan melancarkan peranti terbaru dalam masa terdekat, diyakini adalah POCO F2 Pro.

Menurut sumber lain, terdapat juga beberapa poster kempen POCO yang mendedahkan bahawa ianya bakal hadir dengan harga yang paling berpatutan bersama cipset paling berkuasa, diyakini adalah cipset Snapdragon 865. Tidak terhenti di situ, terdapat penjual yang sudah menyenaraikan POCO F2 Pro dengan pilihan warna, RAM dan storan.

Sepertinya, POCO F2 Pro bakal hadir dengan pilihan warna ungu, putih, kelabu dan biru bersama pilihan varian RAM 8GB + ROM 256GB dan RAM 6GB + ROM 128GB. Ia dilaporkan bakal dilengkapi bateri berkapasiti besar 4700mAh bersama pengecasan pantas 33W. Berkenaan harga, ia dijangkakan memiliki harga 600 Euro (~RM2,823) hingga 650 Euro (~RM3,059) di pasaran Eropah.

Bersediakah anda untuk gelombang peranti dengan spesifikasi flagship, tetapi harga yang berpatutan? Beritahu kami di laman Facebook dan kekal bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: 1 | 2 | 3

Exit mobile version