Site icon TechNave BM

Berus gigi canggih dapat perhatian awal dalam CES 2020

Pameran Elektronik Pengguna (CES) 2020 bakal dimulakan tidak lama lagi di Pusat Konvensyen Las Vegas, Amerika Syarikat. Seperti biasa, para peminat teknologi boleh menjangkakan pengumuman atau pelancaran produk-produk baru daripada syarikat gergasi elektronik seperti Samsung dan Sony. Selain itu, beberapa syarikat pergigian juga turut mengambil kesempatan untuk membuat pengumuman awal tentang teknologi baharu daripada mereka.

Oral-B mengumumkan iO, sebatang berus gigi canggih yang telah dibangunkan dengan kajian dan pembangunan (R&D) selama enam tahun serta maklum balas daripada lebih 1,800 pengguna. 

Selain berus yang diputar dengan motor khas dan sensor yang mengesan kekuatan tangan semasa memberus gigi, ciri utama iO adalah kehadiran kecerdasan buatan (AI) di mana berus itu akan menganalisa corak pemberusan dan memberi nasihat kepada pengguna melalui sebuah aplikasi dalam telefon yang turut memberikan imbasan 3D gigi pengguna.

Plaqless Pro.

Sementara itu, Colgate juga mengumumkan berus gigi canggihnya sendiri iaitu Plaqless Pro. Ia dilengkapi dengan sensor yang mengesan pengumpulan plak apabila pengguna memberus gigi. Ia juga akan mengimbas mulut pengguna dan menghantar data kepada telefon melalui Bluetooth untuk memaklumkan pengguna akan tompok-tompok yang masih belum diberus.

Apakah pendapat anda tentang berus-berus gigi canggih yang akan ditunjukkan dalam CES 2020 ini? Kongsikan pendapat anda di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini!

Sumber: Engadget

Exit mobile version