Buat para pemandu kenderaan yang inginkan nombor plat istimewa, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah membuka bidaan untuk Nombor Pendaftaran Istimewa (NPI) Siri MADANI yang akan berlangsung sehingga hari Rabu, 23 Oktober 2024 jam 10:00 malam.
Bidaan tersebut akan dibuka dengan harga minimum RM100 dan ia boleh dilakukan melalui Sistem JPJeBid. Keputusan bidaan akan diumumkan pada hari Khamis, 24 Oktober 2024 dan nombor pendaftaran yang berjaya dibida perlu didaftarkan dalam tempoh 12 bulan daripada tarikh surat keputusan bidaan dikeluarkan.
Harga bidaan untuk Siri MADANI akan dibahagikan mengikut kategori iaitu:
- Nombor Semasa: RM100
- Nombor Popular: RM500
- Nombor Menarik: RM2,500
- Nombor Premium: RM5,000
- Nombor Utama: RM20,000
Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata hasil penjualan daripada bidaan ini akan dimanfaatkan untuk pelbagai inisiatif di bawah Kementerian Pengangkutan seperti Program MyLESEN, Program Pertukaran Topi Keledar, FlySISWA, Pembayaran PERKESO kepada pemandu teksi dan banyak lagi.
Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengannya dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

