Site icon TechNave BM

Bilangan “dislike” dalam video YouTube bakal disembunyikan

Perkhidmatan perkongsian video YouTube telah mengumumkan bahawa mereka akan menyembunyikan bilangan dislike dalam setiap video, bagi melindungi para pencipta video daripada sebarang gangguan dan serangan dislike yang ditujukan kepada pencipta spesifik.

Butang dislike masih dikekalkan pada video dan penonton masih boleh klik padanya, namun bilangan dislike tidak akan dipaparkan. Bilangan tersebut hanya boleh dilihat oleh pencipta video dalam YouTube Studio. Untuk para penonton pula, butang dislike akan melaraskan jenis kandungan yang keluar dalam ruang Recommendations.

Tujuan YouTube melakukan tindakan ini adalah bagi mencipta persekitaran yang saling menghormati dan selamat untuk para pencipta video dalam berkongsi kandungan mereka. Sebelum ini, YouTube telah pun melakukan eksperimen kecil untuk fungsi ini dan mendapati beberapa pencipta mengalami pengurangan jumlah dislike dalam video mereka.

Secara umumnya, para penonton dan pencipta video tidak bersetuju dengan langkah ini kerana ia akan menyukarkan pencipta untuk mendapat maklum balas tentang penerbitan mereka. Untuk penonton pula, ia akan menyukarkan kebolehan mereka untuk mengecam sebarang scam atau penipuan yang mungkin disebarkan dalam YouTube.

Dalam video pengumuman untuk fungsi ini, ia telah mendapat 13 ribu dislike, berbanding 5.9 ribu dislike sewaktu artikel ini ditulis.

Adakah anda bersetuju dengan langkah YouTube ini? Beritahu kami di Facebook dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Exit mobile version