Site icon TechNave BM

Bilangan pengguna aktif iPhone kini cecah 1 bilion, jualan pecah rekod pada 2020

Dalam sebuah mesyuarat kewangan, CEO Apple Tim Cook menyatakan bahawa pengguna iPhone buat masa ini sudah pun mencecah 1 bilion orang, menandakan satu pencapaian yang besar buat syarikat teknologi Amerika Syarikat (AS) itu. Untuk bilangan iPhone yang telah dijual secara keseluruhannya, ia telah pun mencapai hampir 1.65 bilion unit.

Apple menganggap seseorang pengguna iPhone itu aktif jika mereka telah menggunakan perkhidmatannya sekurang-kurangnya sekali dalam tempoh 90 hari. Pada Januari 2019, Apple sudah pun mencecah pengguna iPhone aktif seramai 900 juta orang.

Apple juga berjaya mencatatkan jumlah jualan suku tahunan tertinggi dalam sejarahnya, apabila mereka mencatatkan jualan US$100 bilion untuk suku keempat 2020. Jualan iPhone sahaja menyumbang sebanyak US$65 bilion kepada Apple, berikutan tarikh penjualan iPhone 12 yang lebih lambat berbanding tahun-tahun sebelumnya.

Tim Cook juga menyatakan bilangan panggilan FaceTime telah mencapai rekod baru pada musim perayaan Krismas tahun lepas, susulan pandemik COVID-19 yang memaksa pengguna untuk kekal di dalam rumah. Pandemik ini juga telah menyumbang kepada jumlah jualan telefon dan peranti elektronik yang tinggi kerana keperluan untuk melakukan pelbagai tugas dari rumah.

Kongsi pendapat anda di Facebook kami tentang bilangan pengguna iPhone yang ramai ini dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: The Verge

Exit mobile version