Site icon TechNave BM

Bill Gates lebih menggemari telefon Android berbanding iPhone

Salah seorang pengasas Microsoft dan ahli perniagaan terkenal Bill Gates telah menjelaskan dalam sebuah temuramah bahawa beliau menggunakan telefon Android dan lebih menggemari telefon dengan sistem operasi itu berbanding iPhone.

Dalam temuramah bersama wartawan Andrew Ross Sorkin melalui aplikasi Clubhouse, beliau menggemari telefon Android kerana kebanyakan telefon itu dilengkapi perisian Microsoft yang memudahkan tugasannya. Selain itu, Android juga adalah lebih fleksibel untuk dihubungkan dengan komputer yang dilengkapi sistem operasi Microsoft.

Gates juga menyatakan beliau telah cuba menggunakan iPhone untuk mengetahui tentangnya, namun beliau masih tetap menggunakan telefon Android. Walau bagaimanapun, perkara yang agak aneh tentang temuramah itu adalah ia dilakukan dalam Clubhouse iaitu aplikasi yang masih tidak terdapat dalam sistem Android.

Selain topik ini, Gates dan Sorkin turut berbincang tentang perubahan iklim, syarikat permotoran elektrik Tesla, Google vs Bing, mendiang Steve Jobs, wabak COVID-19 dan buku terbaru daripada Gates yang bertajuk How To Avoid A Climate Disaster.

Kongsi pendapat anda tentang berita ini di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: Android Authority

Exit mobile version