Perkhidmatan seru pandu (e-hailing) Bolt hari ini mengumumkan kemudahan Early Cash Out untuk rakan-rakan pemandunya, di mana ia membenarkan mereka mengeluarkan pendapatan pada setiap hari dengan bayaran pemprosesan minimum.
Dengan kemudahan ini, rakan-rakan pemandu yang berkhidmat aktif bersama Bolt selama sekurang-kurangnya dua minggu dan telah melengkapkan minimum 25 perjalanan kini boleh mengeluarkan baki pendapatan mereka sekali sehari, tertakluk kepada jumlah pendapatan yang telah diperoleh.
Setiap transaksi akan dikenakan caj pemprosesan sebanyak RM3, dengan jumlah pengeluaran minimum sebanyak RM1. Selain Malaysia, kemudahan ini sudah pun ditawarkan oleh Bolt di negara-negara lain.
Kemudahan baharu ini selari dengan misi Bolt untuk memudahkan rakyat Malaysia menjana, mengurus dan mengembangkan pendapatan melalui perkhidmatan seru pandu. Kajian terbaru oleh Bolt Malaysia mendapati lebih 70% rakan pemandu menjadikan perkhidmatan seru pandu sebagai sumber pendapatan utama untuk menyara keluarga.
Dengan kemudahan Early Cash Out, rakan pemandu boleh mengeluarkan wang dengan lebih cepat dan konsisten bagi memudahkan perancangan kewangan harian.
Beritahu kami di Facebook jika kemudahan ini akan membantu anda dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

