Site icon TechNave BM

Butiran baru HONOR 50 Pro Plus tertiris, mungkin dilengkapi Snapdragon 888, cas pantas 66W

Pada awal tahun ini, HONOR sudah pun melancarkan sebuah telefon pintar andalan iaitu HONOR V40 yang dilengkapi cipset Dimensity 1000+ dan skrin OLED 120Hz. Kini mereka dilaporkan akan melancarkan siri telefon andalan kedua iaitu HONOR 50 yang terdiri daripada HONOR 50, HONOR 50 Pro dan HONOR 50 Pro Plus.

Spesifikasi untuk HONOR 50 Pro Plus kini telah tertiris dalam Weibo, menurut perkhidmatan penanda aras Master Lu. Mereka mengatakan telefon tersebut mungkin akan dilengkapi cipset Snapdragon 888, RAM LPDDR5, storan UFS3.1, skrin 2K melengkung dengan kadar segar semula 120Hz dan bateri 4,400mAh.

Untuk pengecasan pula, ia bakal menyokong pengecasan pantas 66W dan pengecasan wayarles 50W. Daripada segi kamera, ia mempunyai kamera utama 50MP, kamera ultra-lebar 13MP, kamera zum 8MP, lensa ToF dan dwi-kamera swafoto 32MP+8MP. Ia dikatakan akan dilancar pada bulan Mei.

Sebelum ini, HONOR 50 dilaporkan akan dilengkapi cipset Dimensity 1200 manakala HONOR 50 Pro pula dilengkapi Snapdragon 888. Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengan peranti HONOR ini dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: Weibo

Exit mobile version