Site icon TechNave BM

BYD SEALION 7 varian Dynamic rasmi di Malaysia dengan harga bermula RM159,800

BYD Sime Motors melancarkan model SUV elektrik BYD SEALION 7 (2026) untuk pasaran Malaysia dengan memperkenalkan varian baharu Dynamic selain menaik taraf spesifikasi sedia ada bagi varian Premium dan Performance. Model pacuan roda belakang ini dikuasakan oleh Bateri Blade LFP berkapasiti 71.8 kWh yang menjana kuasa 170 kW dan tork 380 Nm.

Ia mampu memecut dari 0 ke 100 km/h dalam masa 7.3 saat serta menawarkan jarak pemanduan sehingga 520 km berdasarkan ujian NEDC. Model ini turut menyokong kelajuan pengecasan pantas DC sehingga 110 kW. Bagi varian Premium dan Performance, kedua-duanya menerima peningkatan kapasiti bateri daripada 82.56 kWh sebelum ini kepada 91.39 kWh.

Peningkatan baharu membolehkan varian Premium mencapai jarak pemanduan sehingga 650 km berbanding 567 km sebelum ini. Kelajuan pengecasan pantas DC untuk kedua-dua varian ini juga ditingkatkan daripada 150 kW kepada 230 kW. Varian Performance menampilkan sistem pacuan semua roda (AWD) yang menghasilkan kuasa 390 kW dan tork 690 Nm berupaya memecut 0 ke 100 km/h dalam masa 4.5 saat dengan jarak pemanduan maksimum 600 km.

Kesemua varian BYD SEALION 7 dibina di atas platform e-Platform 3.0 dan dilengkapi ciri keselamatan ADAS serta 9 beg udara. Kenderaan ini ditawarkan dengan jaminan kenderaan selama 6 tahun atau 150,000 km, jaminan bateri selama 8 tahun atau 160,000 km dan jaminan unit pacuan selama 8 tahun atau 160,000 km.

Varian terbaharu BYD SEALION 7 Dynamic dijual pada harga RM163,800, namun 300 pelanggan terawal ditawarkan harga promosi pelancaran iaitu RM159,800. Varian Premium berharga RM188,800 manakala varian Performance ditawarkan pada RM203,800. Pembeli turut menerima aksesori percuma berupa penyesuai Vehicle-to-Load (V2L) dan kabel pengecas Type 2.

Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengannya dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Exit mobile version