Site icon TechNave BM

BYD: Semua model EV bakal dilengkapi teknologi pemanduan autonomi “God’s Eye”

Saham pengeluar automotif China, BYD, melonjak pada Selasa lalu selepas syarikat itu mengumumkan rancangan untuk memperkenalkan teknologi pemanduan autonomi canggih pada hampir semua modelnya termasuk model bajet berharga bawah AS$10,000 (RM44,670).

BYD juga mengumumkan kerjasama dengan syarikat AI tempatan, Deepseek bagi meningkatkan teknologi pemanduan sendiri serta memberikan pengalaman lebih diperibadikan kepada pengguna. Langkah ini mengikuti jejak syarikat automotif China lain seperti Geely, Great Wall Motors dan Leapmotor.

Sebagai pesaing utama Tesla di China dan semakin berkembang di pasaran global, pengumuman BYD ini mencetuskan spekulasi bahawa perang harga baharu mungkin berlaku dalam industri EV. Teknologi pemanduan autonomi BYD yang dikenali sebagai “God’s Eye” akan dipasang pada sekurang-kurangnya 21 model termasuk model bajet Seagull yang berharga sekitar RM42,668.

Sistem ini merangkumi ciri seperti parkir jauh dan navigasi lebuh raya autonomi yang mana ia terdapat pada kenderaan lebih mahal. Teknologi ini akan menjadi sebahagian penting dalam kenderaan seperti tali pinggang keselamatan atau beg udara dalam beberapa tahun akan datang.

Pasaran automotif China yang merupakan terbesar dan sengit di dunia dalam sektor EV dengan lebih 11 juta kenderaan elektrik dan hibrid terjual pada tahun lalu. Ini merupakan peningkatan lebih 40% berbanding 2023. BYD sendiri menyumbang sekitar 4.2 juta jualan, malah pendapatannya dalam suku ketiga 2024 berjaya mengatasi Tesla buat pertama kali.

Kongsi pendapat anda tentang berita ini di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: The Star

Exit mobile version