BYD mengesahkan bahawa mereka sedang berbincang untuk menyertai Formula 1 dalam masa terdekat. Perkara itu disahkan oleh Naib Presiden BYD yang menyatakan bahawa mereka telah mengadakan pertemuan dengan CEO Formula 1 ketika Grand Prix China di Shanghai.
Menurut beliau, perbincangan masih berjalan secara aktif dan berada pada peringkat awal penilaian strategik. BYD dilaporkan sedang meneliti beberapa pendekatan untuk memasuki F1 termasuk menubuhkan pasukan baharu, menjadi pembekal power unit atau bekerjasama dengan pasukan sedia ada.
Selain itu, BYD turut dikaitkan dengan kemungkinan mengambil alih pasukan seperti Alpine F1 Team atau Aston Martin F1 Team bagi mempercepatkan kemasukan ke grid. Namun, peluang untuk menyertai F1 adalah terhad. Peraturan semasa mengehadkan grid kepada 12 pasukan sahaja dengan kemasukan Cadillac sebagai pasukan baharu bagi musim 2026 telah mengisi slot ke-11.
Ini menjadikan hanya satu slot terakhir masih terbuka. Daripada sudut teknikal, perubahan regulasi F1 bermula 2026 dilihat selari dengan kekuatan BYD. Sistem hibrid baharu akan meningkatkan penggunaan kuasa elektrik sehingga sekitar 50 peratus memberi kelebihan kepada pengeluar yang mempunyai kepakaran dalam bateri serta teknologi kenderaan elektrik.
Kos juga menjadi faktor utama. Untuk membangunkan pasukan F1 dari awal, perbelanjaan tahunan dianggarkan mencecah ratusan juta dolar Amerika tidak termasuk kos pembangunan teknologi. Buat masa ini, tiada keputusan muktamad diumumkan. Namun, pengesahan daripada BYD menunjukkan bahawa pengeluar EV itu serius mempertimbangkan kemasukan ke Formula 1.
Ia berpotensi menjadi antara langkah paling signifikan dari China dalam sejarah sukan permotoran global. Kongsi pendapat anda di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.
Sumber: Weibo

