Site icon TechNave BM

CAAM: Pengguna dron perlu dapatkan permit untuk terbangkan dron

Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) berkata semua pihak yang ingin menerbangkan dron, sama ada untuk operasi berisiko rendah atau tinggi, aktiviti komersial atau aktiviti rekreasi, perlu mendapatkan permit terlebih dahulu. Ini termasuklah sebarang dron atau pesawat tanpa pemandu (unmanned aircraft) yang dilengkapi kamera dan terbang bawah paras 400 kaki.

Agensi penerbangan itu membuat kenyataan ini berkenaan arahan keselamatan yang dibuat oleh CEO CAAM Norazman Mahmud baru-baru ini, yang mengatakan sebarang operasi penerbangan yang dilakukan tanpa permit akan dikenakan tindakan.

Pada 2024, CAAM mengenal pasti beberapa operasi penerbangan pesawat tanpa pemandu, terutamanya untuk tujuan latihan, yang telah dilakukan tanpa mendapatkan permit yang sewajarnya. Norazman berkata setiap operasi penerbangan, termasuklah oleh organisasi yang melatih penerbangan dari jarak jauh, perlu mendapatkan permit Authorisation To Fly (ATF).

Bagi memudahkan proses permintaan permit, CAAM akan menyediakan proses pendaftaran secara dalam talian. Mereka akan menyediakan panduan jelas dan bantuan bagi memastikan pematuhan terhadap protokol keselamatan.

Pendaftaran permit perlu dilakukan sekurang-kurangnya 14 hari sebelum tarikh penerbangan bagi memastikan proses pendaftaran yang lancar. Untuk dron dengan berat kurang daripada 20kg, permit akan mengambil kos sebanyak RM250.

Pendaftaran untuk ATF boleh dilakukan dengan memuat turun borang rasmi kemudian hantar melalui emel kepada drone.atf@caam.gov.my.

Kongsi pendapat anda tentang berita ini di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: FMT

Exit mobile version