Site icon TechNave BM

Ini panduan mudah main ‘game’ tengah ‘trending’ Among Us

Game telefon pintar terhangat waktu kini, Among Us telah menjadi perbualan ramai orang tidak kira peringkat umur. Kami percaya kawan-kawan anda pasti sudah mula bermain game ini. Jika anda masih belum lagi faham cara untuk bermain game Among Us, ini adalah panduan mudah yang boleh digunakan oleh anda semua.

Pengenalan game

Senario game Among Us ini berlaku di dalam sebuah kapal angkasa dan game ini dibahagikan kepada dua kem iaitu kem anak kapal dan juga kem penyamar. Kem anak kapal perlu selesaikan tugas pembinaan kapal angkasa atau campakkan semua penyamar ke lubang udara dengan cara mengundi.

Bilangan orang untuk kem anak kapal dan penyamar akan disetkan oleh tuan rumah dan bilangan penyamar dihadkan sehingga 3 orang sahaja. Sewaktu bermain game ini, apabila bilangan penyamar sama dengan bilangan anak kapal, kem penyamar akan menang game ini. Jadi, had bilangan maksimum penyamar adalah 3 orang sahaja supaya kem anak kapal akan mempunyai peluang yang lebih adil untuk menang.

Kem dalam game

Sesi Perbincangan

Di dalam game ini, jika seseorang melaporkan bahawa sebuah mayat telah dijumpai, semua orang perlu memasuki sesi perbincangan untuk mencari dalang yang melakukan pembunuhan tersebut dengan cara mengundi. Jika anda menerima bilangan undi yang paling tinggi, anda akan dicampak keluar dari kapal angkasa. Tambahan lagi, anda juga boleh tekan butang kecemasan untuk paksa masuk ke sesi perbincangan. Butang kecemasan ini hanya boleh digunakan beberapa kali sahaja untuk setiap game.

Undian boleh ditugaskan kepada pemain tertentu berdasarkan perbincangan ataupun ia boleh dilangkau (skip) apabila keadaan tidak menentu. Dalam sesi undian ini, hanya dua situasi sahaja akan berlaku. Pertama, pemain yang mendapat undian yang tertinggi akan dicampak keluar dari kapal angkasa. Kedua, semua pemain akan selamat pada sesi undian itu jika majoriti ingin melangkau sesi tersebut.

Inilah sahaja panduan yang mudah untuk game Among Us yang tengah hangat ini. Semoga panduan ini akan membantu anda untuk mula bermain game ini.

Ikuti kami di Facebook dan terus kekal bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita game terkini.

Exit mobile version