Baru-baru ini Casio telah pun mengumumkan kolaborasi dengan jenama fesyen jalanan Amerika Syarikat, BAIT, untuk menghasilkan jam tangan G-Shock edisi khas. Produk yang terhasil daripada kerjasama itu ialah jam BAIT x Initial D x G-Shock DW5600BAIT20 Watch yang dihiasi dengan unsur anime popular Initial D.
Jam tersebut mempunyai skema warna hitam-putih yang serupa dengan warna kereta AE86 yang dipandu oleh watak utama Initial D. Warna badan jam tersebut ialah putih, manakala tali jam pula mempunyai jalur hitam-putih , logo Initial D serta Kedai Tofu Fujiwara (藤原とうふ店).
Paparan LCD pada muka jam tersebut juga mempunyai logo Initial D. Pra-tempahan untuk jam tersebut di Amerika Syarikat yang berharga US$200 (~RM808) telah pun ditutup semalam. Setakat ini masih tiada maklumat tentang keberadaannya di Malaysia.
Kongsi pendapat anda tentang berita ini di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

